!!!!!!!! Selamat Datang !!!!!!!!

Isnin, 18 Julai 2022

Laman Utama

 


Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dilaksanakan mulai tahun 2017 secara berperingkat bermula dengan Tingkatan 1. Melalui KSSM, salah satu mata pelajaran baharu yang diperkenalkan ialah Asas Sains Komputer (ASK) yang diajar kepada murid di peringkat menengah rendah. ASK merupakan kesinambungan mata pelajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) yang telah diperkenalkan kepada murid di sekolah rendah dan menggantikan program Information and Communication Technology Literacy (ICTL) sekolah menengah yang telah dilaksanakan mulai tahun 2007. 

Dalam abad Ke-21, murid bukan hanya bertindak sebagai pengguna teknologi yang berpengetahuan malah menyediakan mereka ke arah pencipta teknologi dan pencetus idea baharu. Selaras dengan hasrat untuk melahirkan murid yang mempunyai kemahiran berfikir seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), subjek ASK diperkenalkan agar murid diajar tentang prinsip-prinsip asas dan konsep pembinaan teknologi digital supaya menjadi individu yang mempunyai pemikiran komputasional serta memahami bahawa teknologi digital pada hari ini mampu menyelesaikan masalah masa hadapan. Dokumen Standard Kandungan dan Pentaksiran (DSKP) ASK bertujuan menjadi rujukan utama kepada guru untuk melaksanakan kurikulum ASK di peringkat sekolah. Adalah diharapkan hasrat yang terkandung di dalam kurikulum ASK dapat difahami dan seterusnya dilaksanakan dengan baik oleh guru bagi menyediakan murid yang mempunyai kemahiran pemikiran komputasional yang dapat memberi sumbangan kepada negara pada masa hadapan.

 

 
Mata pelajaran Sains Komputer menengah atas menggantikan mata pelajaran Information and Communication Technology (ICT) dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dengan memberi penekanan kepada pemikiran komputasional berbanding dengan mata pelajaran ICT yang memberi penekanan kepada pengkomputeran sahaja. Mata pelajaran Sains Komputer merupakan kesinambungan kepada mata pelajaran Asas Sains Komputer di peringkat menengah rendah. 
 
Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sains Komputer adalah satu mata pelajaran elektif ikhtisas (MPEI) dalam bidang teknologi untuk Tingkatan 4 dan 5. MPEI memberi fokus kepada keperluan perubahan kepada kurikulum dan pentaksiran berasaskan kompetensi yang merujuk kepada standard industri, badan profesional dan badan pensijilan kebangsaan dan antarabangsa. Seiring dengan matlamat ke arah negara maju dan perkembangan teknologi dalam industri, pembangunan kurikulum MPEI berasaskan kompetensi merupakan satu inisiatif dalam usaha menyediakan modal insan menyeluruh dan seimbang, berakhlak mulia, kritis, kreatif, inovatif serta memiliki kemahiran insaniah dan mengamalkan budaya profesional bagi menghadapi cabaran abad ke-21. 
 
Selain menyediakan asas yang kukuh untuk murid melanjutkan pembelajaran dalam bidang yang sama ke peringkat tertiari sehingga akhirnya meneruskan usaha untuk menjadi seorang individu profesional yang berjaya, MPEI tampil dengan fitur baharu yang ditambah baik di mana kurikulum MPEI dibangunkan berasaskan kepada standard badan pensijilan dan badan professional yang menetapkan set kompetensi yang perlu dicapai. Panel pembangun kurikulum MPEI terdiri dalam kalangan pakar kandungan yang mewakili badan pensijilan, badan profesional serta ahli akademik. Pembangunan kurikulum MPEI juga melalui proses pemetaan kandungan dengan keperluan standard badan pensijilan dan badan profesional. Murid yang mengambil kurikulum MPEI akan mendapat pengiktirafan melalui pensijilan asas kelayakan profesional sebagai nilai tambah kepada pensijilan SPM bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat. 
 
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan berorientasikan amalan perusahaan. Amalan perusahaan akan membantu murid memupuk budaya keusahawanan di dalam diri murid seawal peringkat sekolah untuk menjadi modal insan yang profesional. PdP ini mengadaptasikan amalan perusahaan untuk mengukuhkan konsep “belajar sambil melakukan” (learning by doing) dan “belajar melalui pengalaman” 
 
Sains Komputer merupakan disiplin ilmu yang mempunyai bidang pengetahuan tersendiri iaitu berkaitan dengan prinsip asas pembentukan dan penggunaan komputer (Kamus Komputer DBP, 2015). KSSM Sains Komputer direka bentuk untuk memberi ruang kepada murid membangunkan kemahiran pemikiran komputasional dan kemahiran kritikal melalui keupayaan mereka bentuk, membangun serta mencipta aplikasi dan sistem. Dokumen Standard Kandungan dan Pentaksiran (DSKP) Sains Komputer bertujuan menjadi rujukan utama kepada guru untuk melaksanakan kurikulum Sains Komputer di peringkat sekolah. Adalah diharapkan hasrat yang terkandung dalam kurikulum Sains Komputer dapat difahami dan seterusnya dilaksanakan dengan baik oleh guru bagi menyediakan murid yang berfikiran komputasional yang dapat memberi sumbangan kepada negara pada masa hadapan
 

Tiada ulasan: