Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dilaksanakan
mulai tahun 2017 secara berperingkat bermula dengan Tingkatan
1. Melalui KSSM, salah satu mata pelajaran baharu yang
diperkenalkan ialah Asas Sains Komputer (ASK) yang diajar
kepada murid di peringkat menengah rendah. ASK merupakan
kesinambungan mata pelajaran Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (TMK) yang telah diperkenalkan kepada murid di
sekolah rendah dan menggantikan program Information and
Communication Technology Literacy (ICTL) sekolah menengah
yang telah dilaksanakan mulai tahun 2007.
Dalam abad Ke-21, murid bukan hanya bertindak sebagai
pengguna teknologi yang berpengetahuan malah menyediakan
mereka ke arah pencipta teknologi dan pencetus idea baharu.
Selaras dengan hasrat untuk melahirkan murid yang mempunyai
kemahiran berfikir seperti yang terkandung dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), subjek ASK
diperkenalkan agar murid diajar tentang prinsip-prinsip asas dan
konsep pembinaan teknologi digital supaya menjadi individu yang
mempunyai pemikiran komputasional serta memahami bahawa
teknologi digital pada hari ini mampu menyelesaikan masalah
masa hadapan.
Dokumen Standard Kandungan dan Pentaksiran (DSKP) ASK
bertujuan menjadi rujukan utama kepada guru untuk
melaksanakan kurikulum ASK di peringkat sekolah. Adalah
diharapkan hasrat yang terkandung di dalam kurikulum ASK
dapat difahami dan seterusnya dilaksanakan dengan baik oleh
guru bagi menyediakan murid yang mempunyai kemahiran
pemikiran komputasional yang dapat memberi sumbangan
kepada negara pada masa hadapan.
Mata pelajaran Sains Komputer menengah atas menggantikan
mata pelajaran Information and Communication Technology (ICT)
dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dengan
memberi penekanan kepada pemikiran komputasional
berbanding dengan mata pelajaran ICT yang memberi penekanan
kepada pengkomputeran sahaja. Mata pelajaran Sains Komputer
merupakan kesinambungan kepada mata pelajaran Asas Sains
Komputer di peringkat menengah rendah.
Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sains Komputer
adalah satu mata pelajaran elektif ikhtisas (MPEI) dalam bidang
teknologi untuk Tingkatan 4 dan 5. MPEI memberi fokus kepada
keperluan perubahan kepada kurikulum dan pentaksiran
berasaskan kompetensi yang merujuk kepada standard industri,
badan profesional dan badan pensijilan kebangsaan dan
antarabangsa. Seiring dengan matlamat ke arah negara maju dan
perkembangan teknologi dalam industri, pembangunan kurikulum
MPEI berasaskan kompetensi merupakan satu inisiatif dalam
usaha menyediakan modal insan menyeluruh dan seimbang,
berakhlak mulia, kritis, kreatif, inovatif serta memiliki kemahiran
insaniah dan mengamalkan budaya profesional bagi menghadapi
cabaran abad ke-21.
Selain menyediakan asas yang kukuh untuk murid melanjutkan
pembelajaran dalam bidang yang sama ke peringkat tertiari
sehingga akhirnya meneruskan usaha untuk menjadi seorang
individu profesional yang berjaya, MPEI tampil dengan fitur
baharu yang ditambah baik di mana kurikulum MPEI dibangunkan
berasaskan kepada standard badan pensijilan dan badan
professional yang menetapkan set kompetensi yang perlu dicapai.
Panel pembangun kurikulum MPEI terdiri dalam kalangan pakar
kandungan yang mewakili badan pensijilan, badan profesional
serta ahli akademik. Pembangunan kurikulum MPEI juga melalui
proses pemetaan kandungan dengan keperluan standard badan
pensijilan dan badan profesional. Murid yang mengambil
kurikulum MPEI akan mendapat pengiktirafan melalui pensijilan
asas kelayakan profesional sebagai nilai tambah kepada
pensijilan SPM bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang
hayat.
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dilaksanakan dengan
menggunakan pendekatan berorientasikan amalan perusahaan.
Amalan perusahaan akan membantu murid memupuk budaya keusahawanan di dalam diri murid seawal peringkat sekolah untuk
menjadi modal insan yang profesional. PdP ini mengadaptasikan
amalan perusahaan untuk mengukuhkan konsep “belajar sambil
melakukan” (learning by doing) dan “belajar melalui pengalaman”
Sains Komputer merupakan disiplin ilmu yang mempunyai bidang
pengetahuan tersendiri iaitu berkaitan dengan prinsip asas
pembentukan dan penggunaan komputer (Kamus Komputer DBP,
2015). KSSM Sains Komputer direka bentuk untuk memberi ruang
kepada murid membangunkan kemahiran pemikiran
komputasional dan kemahiran kritikal melalui keupayaan mereka
bentuk, membangun serta mencipta aplikasi dan sistem.
Dokumen Standard Kandungan dan Pentaksiran (DSKP) Sains
Komputer bertujuan menjadi rujukan utama kepada guru untuk
melaksanakan kurikulum Sains Komputer di peringkat sekolah.
Adalah diharapkan hasrat yang terkandung dalam kurikulum
Sains Komputer dapat difahami dan seterusnya dilaksanakan
dengan baik oleh guru bagi menyediakan murid yang berfikiran
komputasional yang dapat memberi sumbangan kepada negara
pada masa hadapan